Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Pengulungan Perhimpunan Agong UMNO di dewan merdeka ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Ketiga-tiga sayap parti UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri digesa bersama-sama mengorak langkah untuk tampil dengan program dan usaha bagi mengatasi masalah kebejatan sosial dalam kalangan masyarakat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan pelbagai masalah kebejatan sosial yang amat menyayat hati dan membimbangkan orang ramai.

Beliau mengambil contoh kes buli siber dan fizikal yang semakin membimbangkan dengan 10 kes buli dilaporkan berlaku setiap hari termasuk yang berlaku dalam kalangan mahasiswa.

Selain itu, katanya, isu-isu seks luar nikah atau bawah umur, penyalahgunaan dadah dan alkohol juga adalah membimbangkan.

“Perceraian umur muda juga semakin meningkat, keganasan rumah tangga dan seksual kerap dilaporkan.

“Begitu juga kita sering terbaca kisah ibu bapa yang terabai dan tinggal tanpa anak-anak bersama mereka.

“Untuk itu, kita mesti tampil dengan pendekatan, menyantuni masyarakat dan melaksanakan program-program yang mahu orang Melayu, rakyat kembali melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tampil mencari penyelesaian,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, dalam isu buli siber dan fizikal, Pemuda dan Puteri UMNO serta Siswi UMNO perlu menjalankan kempen dan menjuarai isu tersebut.

Sementara itu, katanya, dalam isu perceraian umur muda serta ibu bapa yang ditinggalkan, Wanita UMNO melalui Skuad Sayang digesa mendekati mereka dengan bimbingan.

Dalam ucapannya juga, Ahmad Zahid turut memberi penegasan berkenaan pentingnya untuk ahli UMNO melakukan anjakan termasuk memanfaatkan teknologi digital untuk memperkuatkan parti.

Ujar beliau, kebijakan baharu perlu dilahirkan sesuai dengan tuntutan semasa dan akan datang.

“Kita mahu generasi 50 tahun akan datang berada pada tahap yang lebih baik hasil anjakan-anjakan yang kita mulai hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast