KUALA LUMPUR – Pengamal media yang membuat liputan di lokasi mencari mangsa tanah jerlus di Masjid India di sini melahirkan penghargaan terhadap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nantha Linggi yang menyumbang kira-kira 40 pek makanan di tempat kejadian.
Sumbangan tersebut diserahkan melalui Persatuan Wartawan Jenayah Malaysia (CiJA) kepada lebih 40 pengamal media yang bertugas di lokasi kejadian di sini hari ini.
Setiausaha Agung CiJA, Hafidzul Hilmi Mohd Noor berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Alexander Nanta dan juga pegawai kementerian yang menyumbang makanan kepada pengamal media.
“Usaha ini sebagai tanda keprihatinan ditunjukkan oleh Datuk Seri (Alexander) kepada pengamal media yang berkampung di sini sejak Jumaat tanpa mengira cuaca dan waktu untuk melaporkan perkembangan terkini pencarian mangsa tanah jerlus.
“Sumbangan Datuk Seri menaja makanan kepada kami serba sedikit mengurangkan penat lelah kami di sini,” katanya hari ini.
Pada masa sama, pelbagai pihak luar termasuk Uncle Kentang juga turun padang menyalurkan sumbangan makanan dan minuman kepada pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).
Jumaat lalu, media melaporkan mangsa merupakan seorang pelancong dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette