Graduan program Sijil Teknologi Senibina Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Hafizuddin Mohd Hashim menerima anugerah tertinggi pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2024.

KUANTAN – Penglibatan secara aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum menjadi tiket seorang pelajar lepasan tahfiz cemerlang akademik dianugerahkan Anugerah Ketua Pengarah (AKP) pada MajlisKonvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2024.

Graduan program Sijil Teknologi Senibina Kolej Komuniti Kuantan, Mohammad Hafizuddin Mohd Hashim, 21 juga berjaya membuktikan status anak yatim bukan penghalang untuk cemerlang dan menerima anugerah tertinggi itu.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail di Dewan Canselori Sultan Haji Ahmad Shah, DRB-HICOM University of Automotive Malaysia (DHU), Pekan semalam.

Mohammad Hafizuddin Mohd Hashim (dua dari kiri) menerima Anugerah Ketua Pengarah (AKP) pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Pahang 2024

Hafizuddin meraih keputusan peperiksaan cemerlang dalam Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM) iaitu 3.96 juga bergiat aktif sebagai Pengerusi Kelab Senibina Kolej Komuniti Kuantan dan dalam bidang sukan.

Selain menyertai Kejohanan Sukan Karom, Catur & Bola Tampar Kolej Komuniti Pahang tahun 2022, dia juga menyertai Kejohanan Bola Sepak Mypolycc Sports Carnival 2023, Kejohanan Bola Sepak Kolej Komuniti Pahang (Johan), Kejohanan Sukan TVET Pahang 2022 Bola Sepak (Naib Johan), Kejohanan Liga Futsal PKBAT 2022 MASKOM (Tempat Ketiga) dan terpilih sebagai pemain pasukan Futsal Lelaki Kolej Komuniti Malaysia 2023.

Tidak cukup dengan itu, Hafizuddin turut aktif dalam sukan e-sport dan merupakan Naib Johan dalam Kejohanan Mobile Legend Kolej Komuniti Kuantan.

Anak ketiga daripada lima adik beradik itu tinggal bersama ibunya, Noor Azizah Mohamedyang bekerja sebagai Guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Seribong, Kota Bharu, Kelantan dan menetap di Pondok Hashim, Pondok Pasir Tumboh setelah kehilangan bapanya, Mohd Hashim Abu Bakar pada tahun 2014. 

Sementara itu, Mohd Zahari Ismail dalam ucapan berkata, graduan kolej komuniti mempunyai kebolehpasaran yang tinggi untuk memenuhi peluang kerjaya masa hadapan dan sering menjadi pilihan majikan selepas tamat pengajian.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti dibawahnya terus memainkan peranan utama sebagai peneraju agenda Dasar TVET Negara melalui pelbagai inisiatif dan strategi yang telah dibangunkan seperti Kualiti dan Laluan Pendidikan TVET bertaraf dunia, Kerjasama Industri Cekap dan Produktif serta menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya pada masa akan datang,” katanya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast