Pengerusi baharu MITRA, P. Prabakaran.

KUALA LUMPUR – Walaupun berterima kasih dengan peruntukan RM100 juta saban tahun bagi tujuan pemerkasaan masyrakat India di negara ini namun Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) memohon jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan jumlah itu kepada RM300 juta tahun ini.

Pengerusi MITRA merangkap Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran berkata, jumlah sebelum ini tidak mencukupi terutamanya dalam memperkasakan ekonomi golongan B40 di negara ini.

Pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM50 juta bagi menyokong 100,000 individu dari kumpulan berkenaan.

“Komitmen sahaja sudah mengambil hampir separuh daripada peruntukan RM100 juta manakala baki RM50 juta itu tidak cukup untuk membawa perubahan atau transformasi dan meningkatkan ekuiti bagi komuniti India terutamanya dalam kalangan belia.

“Dengan peruntukan yang lebih besar, kita akan dapat melaksanakan lebih banyak program dan inisiatif yang akhirnya akan membawa perubahan dan pemerkasaan ekonomi secara ketara dalam komuniti ini,” katanya baru-baru ini.

Kata Prabakaran, peruntukan tambahan RM300 juta ini adalah cadangan pelbagai pemain industri komuniti India setelah sesi libat urus  ini pembangunan sosio ekonomi komuniti India dalam Bajet 2025.

“Sesi ini dianjurkan MITRA bagi memberi peluang kepada kira-kira 100 pemimpin dan wakil daripada komuniti India di seluruh negara untuk memberi input mengenai kerangka Bajet 2025.

“Perbincangan kita fokus kepada bajet yang diperuntukkan dapat memperkukuh pelaksanaan inisiatif MITRA menaik taraf sekolah-sekolah bantuan kerajaan serta mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk komuniti.

“Mitra akan bekerjasama dengan setiap agensi kerajaan bagi memastikan inisiatif sedia ada dapat disampaikan kepada komuniti India yang memerlukan,” ujarnya.

Sebelum ini, Prabakaran akan melaksanakan lima program untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dalam masa terdekat melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Pelaksanaannya fokus kepada tiga skop utama iaitu keusahawanan dan kerjaya, modal insan serta kesejahteraan sosial masyarakat itu.

Difahamkan antara yang akan dilaksanakan MITRA dengan kerjasama institut-institut memandu yang dikenal pasti oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Program Bantuan Lesen Lori Good Driving License (GDL) MITRA .

Program melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta akan menawarkan tiga jenis kelas lesen GDL iaitu kelas E, kelas E Full (Kejur), kelas E Full (bersendi) dengan sasaran penglibatan seramai 654 belia dan dewasa dari golongan B40 yang dibuka pada September ini.

Selain itu, di bawah inisiatif modal insan pula, sebanyak RM35 juta disediakan untuk melaksanakan dua program iaitu Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (RM10 juta) dan Program Bantuan Awal Kemasukan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 4.0 (RM25 juta).

Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta pula bertujuan memastikan kanak-kanak masyarakat India berumur antara empat hingga enam tahun mendapat akses pendidikan awal selain membantu mengurangkan beban keluarga golongan B40 untuk sesi persekolahan tahun 2024/2025 mula disalur September ini.

Manakala seramai 12,400 pelajar tahun pertama dan kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma yang sedang menuntut di IPT awam serta swasta dalam kumpulan B40 berpeluang untuk menerima manfaat menerusi Program Bantuan Awal Kemasukan IPT 4.0 dengan permohonan akan dibuka Oktober ini.

Pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pula akan menerima bantuan secara sekali beri sebanyak RM3,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Disember depan.

Bagi inisiatif Kesejahteraan Sosial pula, sebanyak RM23.5 juta diperuntuk untuk melaksanakan dua program iaitu Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA dan Program Bantuan Subsidi Dialisis MITRA.

Program Bantuan Sinar Cahaya MITRA merupakan program baharu berbentuk penyelesaian pantas yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi meringankan beban masyarakat India golongan B40 dan M40 yang terjejas disebabkan kejutan kesihatan merosot atau kejutan ekonomi.

Antara jenis bantuan boleh dimohon ialah bantuan bencana; bantuan rumah atau bilik penginapan sementara, bantuan kesihatan, bantuan pengurusan jenazah, dan bantuan ibu bersalin yang dilaksanakan dengan peruntukkan RM15.5 juta, melibatkan 14,330 orang penerima. -MalaysiaGazette