KUANTAN – Letupan bunga api penuh gemilang yang menghiasi langit sebagai simbolik berakhirnya sambutan tiga malam Istiadat Perkahwinan Diraja bagi pasangan mempelai Tengku Puteri Raja Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan FD Idzham FD Iskandar.
Istidat Perkahwinan Diraja yang bermula 22 Ogos lepas disempurnakan dengan malam kemuncak Istiadat Bersanding dengan penuh adat istiadat Melayu bertempat di Istana Abdulaziz, di sini malam ini.
Majlis bermula dengan ketibaan rombongan pengantin lelaki sekitar jam 8 malam diikuti ketibaan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohamed serta kerabat bergelar.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah turut berkenan berangkat bagi menyaksikan istiadat berkenaan dan menyambut keberangkatan tiba Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan anakanda-anakanda Sultan Pahang yang mengenakan baju berona biru diraja.
Sejurus perarakan masuk pengantin Puteri Diraja yang memakai busana serba putih ke pelamin, pengantin lelaki kemudian dilihat tiba di perkarangan Istana Abdulaziz dan turut diarak masuk ke pelamin di Balai Mahkota.
Majlis kemudiannya dimulakan dengan istiada menyuap nasi semangat yang disempurnakan oleh kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tan Sri Hajah Meriam Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Seterusnya, majlis tersebut diserikan dengan istiadat merenjis oleh anak keempat mantan Presiden Indonesia, Siti Hediati Hariyadi Soeharto.
Istiadat Bersanding kemudiannya diakhiri dengan kedua-dua ayahanda dan bonda pengantin perempuan berkenan mempersembahkan pancabicara kepada kedua pasangan sebagai tanda restu. – MalaysiaGazette