KUALA LUMPUR- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan banjir besar di posisi dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor, jam 12 tengahari tadi.
TLDM dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku ketika kapal berkenaan sedang melaksanakan penugasan operasi.
Katanya, kebocoran dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek bawah air.
Kebocoran yang mula dikesan di bilik jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.
“Fokus utama TLDM sekarang adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian.
“TLDM merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden ini iaitu Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran,” ujarnya lagi.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden ini. Sila rujuk sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar.- MalaysiaGazette