KUANTAN – Seorang lelaki meninggal dunia setelah kereta dipandunya terbabit kemalangan di Jalan Sultan Abdullah berhadapan Kolej Universiti Widad, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 11.30 pagi.
Beliau berkata, ketika kejadian, mangsa, Saravanan a/l Munisamey, 51 memandu kereta jenis Nissan Sentra dari arah Batu 6 menghala ke arah Indera Mahkota 2.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus, tiba-tiba kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok dan tiang lampu di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang merupakan seorang pemandu lori di bawa ke Unit Kecemasan Hospital IIUM Kuantan untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, pada jam 12.53 tengah hari, mangsa telah disahkan meninggal dunia di Zon Merah IIUM Kuantan semasa dalam rawatan.
“Setelah dapatan laporan bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana faktor kesihatan mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette