Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, pagi tadi. - Foto: FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk mencapai Tier 1 atau Tahap 1 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu disasarkan lebih baik berbanding tahun ini yang mana negara diletakkan pada Tahap 2 serta Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watch List) pada 2023.

Sebelum ini, Malaysia berada di Tahap 3 untuk dua tahun berturut-turut  iaitu pada 2022 dan 2021.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, pagi tadi. – Foto: FB Fadillah Yusof

“Kedudukan Malaysia bertambah baik hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam menjayakan agenda bebas buruh paksa dan kita mensasarkan Tahap 1 atau Tier 1 menjadi matlamat negara.

“Usaha ini tidak boleh berhenti di sini sahaja tetapi perlu berterusan serta disambut semua sektor dan pemain industri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, Fadillah merasmikan Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak pagi tadi.

Menerusi konvensyen itu, beliau turut menegaskan, isu buruh paksa dan eksploitasi pekerja adalah perkara asas yang perlu diambil tahu secara serius oleh setiap majikan dan pemain industri.

Selain itu, beliau turut berkongsi data kes kejadian buruh paksa atau pemerdagangan orang di negara ini yang mana sepanjang tahun ini setakat Julai lalu, dua kes dilaporkan berlaku.

Katanya, jumlah itu berkurang berbanding keseluruhan 12 kes yang dilaporkan pada 2023 iaitu masing-masing 11 kes di Semenanjung dan 1 di Sarawak dan 16 kes pada 2022 (15 kes di Semenanjung, 1 kes di Sabah).

Ujar beliau, walaupun jumlah kes yang dilaporkan itu kecil, namun tidak boleh dipandang ringan kerana kebebasan asas seseorang dinyatakan dalam Perkara 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

“Antaranya ialah Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh ditahan sebagai hamba abdi dan segala bentuk kerja paksa adalah dilarang.

“Penggunaan ‘tiada seorang pun’ merangkumi semua orang, iaitu warganegara dan bukan warganegara termasuk pekerja migran, berdokumen atau sebaliknya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika merasmikan Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, pagi tadi.- Foto: FB Fadillah Yusof

Malah ujar Fadillah, para pekerja migran yang berdokumen atau tidak berdokumen juga berhak untuk mendapat hak berperlembagaan di Malaysia.

Jelasnya, ia seperti termaktub dalam Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan perkataan “orang” dan bukan ‘warganegara’ dan  hak-hak yang dijamin oleh kesamarataan diperluaskan kepada migran yang berdokumen atau tidak berdokumen.

“Oleh itu, adalah menjadi kewajipan pegawai penguat kuasa untuk melindungi setiap mangsa buruh paksa di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette