Pemain-pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang piala selepas menewaskan Selangor FC 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kemenangan hatrik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) mendapat ucapan tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dalam satu status di aplikasi X berkata, kemenangan JDT diharap dapat mengekalkan tradisi sukan untuk memupuk perpaduan.

“Tahniah JDT yang memenangi pertandingan semalam. Kagum dengan semangat pasukan Selangor,” kata Anwar.

Semalam, JDT mempertahankan kejuaraan buat kali keempat apabila melanyak Selangor FC dengan keputusan 6-1.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio mempertahankan mahkota kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dan kelima secara keseluruhan pada 2016, 2022 dan 2023, termasuk pada 1998 ketika di bawah Johor FA.

Lebih manis, kemenangan besar itu turut dibantu dengan jaringan hatrik bekas pemain remaja Sepanyol, Juan Muniz dengan dua daripadanya dihasilkan menerusi sepakan percuma cantik.

Sebaliknya skuad Red Giants terpaksa akur dan perlu menunggu lagi selepas kali terakhir mendakap Piala FA pada 2009 lalu. – MalaysiaGazette