Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman bersama Timbalannya Superintendan Nuzulan Mohd Din berbincang dengan suami mangsa hilang Mathavan,49 mengenai perkembangan terkini pencarian Vijayaletchumi yang tertimbus dalam kejadian tanah Jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas

KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas tertimbus dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lalu disambung semula pagi ini.

Pencarian hari ini hampir mencecah 50 jam dengan pasukan penyelamat bertungkus lumus menyusun strategi bagi menjejaki mangsa.

Operasi pencarian mangsa telah ditangguhkan 7 malam tadi dan disambung semula kira-kira 9.30 pagi hari ini dengan operasi pencarian fokus kepada dua lurang kumbahan di Jalan Melayu dan di persimpangan jalan yang sama.

Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR mangsa insiden tanah jerlus di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India di sini dibuka secara berperingkat selepas usaha mencari mangsa dilaporkan gagal membawa sebarang perkembangan positif.

Operasi SAR pagi ini melibatkan agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium.

MalaysiaGazette mendapati ahli keluarga mangsa iaitu Mathavan, 49, yang merupakan suami wanita tertimbus, Vijayaletchumi, 48, dilihat menunggu seawal 8 pagi.

Anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, diberikan penerangan berhubung operasi hari ini dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berbangsa India sebagai jurubahasa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dan timbalannya, Supritendan Nuzulan Mohd Din tiba ke lokasi sebelum bertemu dengan ahli keluarga menggunakan bantuan juru bahasa sebelum menerima taklimat pasukan bomba mengenai operasi pencarian mangsa yang memasuki hari ketiga.

Selain itu kebanyakan premis perniagaan di lokasi berdekatan tempatan tanah jerlus hadapan Masjid India dilihat tidak beroperasi hari ini. – MalaysiaGazette