Sindiket seleweng diesel subsidi di Sibu, Sarawak tumpas. Foto SPRM

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggempur satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Sibu, Sarawak.

SPRM dalam kenyataannya berkata, sindiket tersebut dipercayai menyeleweng minyak diesel milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Turut disita dua tongkang serta beberapa tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Menurut kenyataan itu serbuan dijalankan secara bersama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM selain turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh penyimpanan minyak yang terletak di Sungai Bidut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi siasatan dan risikan dijalankan SPRM, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2012 ini telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

“Sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan.

“Kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan di depoh minyak berkenaan, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel selain tedapat 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit.

Katanya, menerusi operasi ini, SPRM telah menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil sekitar jam 4 petang hari ini.

“Mereka yang ditahan ini adalah empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel itu serta seorang orang tengah yang dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar.

“Susulan operasi ini, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel di depoh terbabit.

“Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Hukuman yg setimpal harus dikenakan. Kalau penyeludupan manusia hukuman berat, kenapa tak boleh hukuman sama dikenakan kepada penyeludup diesel.

  2. kalau blh dpt RM400 Juta, mesti ada dalang besar sejak Sekian lama..Cuba sprm carikan ikan jerung besar dibelakang sindiket ini. kerja ni bukan baru mungkin beberapa tahun yang lalu..cari la sampai ke lubang cacing dan kamu PASTI jumpa jerung bear.

Comments are closed.