Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dalam Ops Samseng, Ops Jalanan yang dilakukan di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru, awal pagi ini.

JOHOR BAHRU – Lebih 250 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar Jalan Skudai-Pantai Lido di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS melakukan operasi itu bermula pukul 5 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

Op Samseng dan Ops Jalanan yang dilakukan di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru, awal pagi ini.

“Dalam operasi berkenaan seramai 286 individu dengan 257 kenderaan diperiksa. Pihak polis mengeluarkan 153 saman Pol. 257 dengan 115 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Saman dikeluarkan atas kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu dan ubah suai struktur kenderaan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut bersama-sama dalam operasi pula mengeluarkan saman kompoun
sebanyak 54 keping, juga mengikut APJ 1987 atas pelbagai kesalahan.

“Selain itu, hasil pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap paras bunyi ekzos yang dibenarkan pada kenderaan, sebanyak 46 saman kompoun dan 52 notis arah periksa dikeluarkan terhadap individu yang melebihi paras yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dalam Ops Samseng, Ops Jalanan yang dilakukan di Jalan Skudai-Pantai Lido, Johor Bahru, awal pagi ini

Raub berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD JBS pula menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun kerana didapati positif metahamphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan.

Bagi kesalahan itu, katanya kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Raub berkata, selain JPJ dan JAS, operasi turut dibantu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi itu adalah langkah positif dalam memastikan keselamatan dan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal tentang undang-undang serta peraturan lalu lintas.- MalaysiaGazette