IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak menolak kemungkinan aktiviti pertanian antara punca insiden kepala air berlaku di Slim River Jumaat lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengikut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan, tiada aktiviti pembalakan kelolaan jabatan tersebut dikesan di kawasan tersebut.
Beliau tidak menafikan memang terdapat sisa kayu dihanyutkan sewaktu kejadian tersebut namun itu bukan melibatkan pembalakan baharu.
“Kita pun tidak menafikan jika terdapat orang membersihkan hutan untuk tujuan pertanian yang dibuat oleh mereka.
“Dulu ada pokok setelah tebang, mereka bakar. Bagaimanapun, kita tidak membenarkan mereka membuat pembakaran terbuka dan biar reput.
“Jadi kayu itu hanyut,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-52 Tahun 2024 di PUO di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan bagi pembangunan melibatkan kawasan tanah termasuk untuk tujuan pertanian memerlukan Kebenaran Merancang (KM) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
“Dulu KM hanya untuk pembinaan namun sekarang untuk potong pokok perlu ada KM.
“Sepatutnya mereka kena mematuhi syarat itu dan menghantar KM kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Jika tak buat mereka gagal (mematuhi peraturan).
“Begitu juga kajian EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar), sepatutnya dibuat. Kalau gagal, dia kena denda atas kesalahan itu. Apa lagi kalau menjadi penyebab kepada banjir,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan segera di kawasan pertanian berhampiran termasuk ladang durian yang berada di lokasi berkenaan.
“Kita akan berbincang pada Mesyuarat Exco Rabu ini untuk melihat kesan dan sebab kejadian itu juga beri iktibar kepada seluruh negeri bukan sahaja di Slim River,” ujarnya.
Sebelum ini, MG Perak melaporkan empat kawasan penempatan termasuk dua kawasan rekreasi susulan kejadian jambatan runtuh ekoran hujan lebat berpanjangan di sekitar Slim River, dekat sini, pada Jumaat.
Kawasan berkenaan adalah Kampung Sungai Bil, Slim Village; Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil; Kampung Pasir Ulu Slim, serta Eco Park Risda.
Kejadian itu mengakibatkan tiga jambatan yang menghubungkan keempat-empat kawasan itu runtuh dipercayai akibat insiden kepala air di Ulu Slim.
Tiga jambatan berkenaan adalah Jambatan Lama Slim Village; Jambatan Ulu Slim serta Jambatan Kampung Piong Sungai Bil. – MG Perak