Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bekalan insulin di negara ini hanya akan bertahan sehingga Disember ini sahaja.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia ekoran masalah pembekalan daripada salah satu pembekal ubatan itu sebelum ini.

“Sementara itu kita akan terus mendapatkan pembekal lain dan KKM sudah meneliti perkara ini, bukannya kita tak ambil peduli, kita sentiasa memantau, cuma belum dapat pembekal lain.

“Sekarang sudah dapat komitmen dari pembekal lain, mereka akan serahkan dokumen kita akan percepatkan pendaftaran daripada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) sebelum hujung tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (MIH) dan  Megatrends 2024 di Dewan Serbaguna KKM hari ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang berbincang dengan pihak pembekal bagi memastikan bantuan bekalan dapat disalurkan daripada pihak mereka.

Mengulas lanjut, KKM, katanya, belum menerima apa-apa aduan mengenai kekurangan bekalan tersebut.

“Kami (juga) sedang berkomunikasi dengan pihak dari (pengeluar) India. Mereka mesti membekalkan sama ada dari tempatan atau luar negara.

“Apa pun, kita tak mahu kekurangan ini menjejaskan penjagaan pesakit,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly juga berkata, pihaknya turut sedang mencari alternatif bagi memastikan bekalan insulin tidak terputus.

“Kami sedang mencari pembekal alternatif. Kami sudah pun berkomunikasi, memang malang perkara ini berlaku tetapi kami sudah mengambil masa untuk berbincang dengan pembekal.

“Saya tidak mahu percaya kita akan menghadapi krisis tetapi kita ada alternatif dan sedang mendapatkan pembekal lain secepat mungkin,” ujarnya.

Khamis lepas, Dr Dzulkefly berkata, bekalan insulin di fasiliti KKM yang terjejas baru-baru ini adalah disebabkan isu pengeluaran di pembekal tempatan.

KKM memaklumkan bagi memastikan rawatan pesakit dapat diteruskan tanpa gangguan, kementerian itu telah mengambil beberapa pendekatan termasuk meningkatkan penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat pesakit.

Untuk rekod, rawatan perubatan di Malaysia yang ditawarkan kepada penghidap diabetes adalah dalam bentuk insulin manusia, insulin jenis analog dan terapi oral iaitu bergantung kepada keperluan rawatan individu.

KKM pada 12 Ogos lepas telah mengumumkan penambahbaikan terhadap dasar perolehan untuk memastikan keterjaminan, ketersediaan dan pulangan nilai terbaik untuk produk farmaseutikal dan peranti perubatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast