Menteri KKM, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 26 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Sejumlah 31 kes disyaki cacar monyet telah disaring oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga semalam.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad daripada jumlah itu 25 daripadanya adalah negatif.

“KKM telah melalui 25 kes yang kami saring dan ingin saya sahkan sehingga kini pada masa ini, tiada kes positif cacar monyet.

“Bagaimanapun, KKM memperkukuh dan memberi amaran kepada kawalan sempadan kami dan lapan makmal yang kami aktifkan, serta CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis) kami juga dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikan dalam sifang media sempena majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (MIH) dan  Megatrends 2024 di Dewan Serbaguna KKM, hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Dalam pada itu, KKM berkata, daripada 31 kes disyaki cacar monyet, enam daripada masih dalam pemantauan.

Dr Dzulkefly turut berkata, pihaknya telah menghantar pekeliling secara berkala kepada kedua-dua sektor awam dan swasta dalam menng kesiapsiagaan negara bagi menghalang penyebaran cacar monyet di negara ini.

“Kami sedar tentang kes di Singapura dan Thailand, mereka bersempadan dengan kita, kita mesti berwaspada,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan telah mengaktifkan bilik gerakan khusus untuk wabak cacar monyet atau mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan bagi memantau dan menghindari penularan wabak itu ke negara ini bermula 16 Ogos lepas.

Bilik gerakan itu, jelas Dr Dzulkefly, berperanan memantau situasi wabak berkenaan di dalam dan luar negara, serta berkolaborasi dan menyelaras langkah pencegahan dan kawalan bersama-sama negara ASEAN. – MalaysiaGazette