Datuk Sivakumar Nadarajah

KUALA LUMPUR – Perubahan cuaca yang tidak menentu terutama hujan lebat sehingga menyebabkan pelbagai insiden termasuk kes seorang pelancong India terjatuh dalam tanah jerlus di Masjid India di sini terus menjadi igauan masyarakat.

Wanita malang itu masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) diadakan secara menyeluruh namun masih menemui jalan buntu walaupun masuk hari keempat.

Menurut Menurut Penaung dan Presiden Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar, ketika ini keadaan cuaca menyebabkan banyak kawasan yang terdedah dengan tragedi  tanah mendap.

“Kita tidak tuding jari kepada sesiapa malah cukup berterima kasih dengan tindakan pantas pihak berwajib seperti bomba yang sedang menjalankan operasi SAR ketika ini.

“Tetapi insiden ini sudah membuka mata semua yang perubahan cuaca di negara yang berlaku secara semula jadi boleh menjadi sesuatu yang dahsyat seperti mendapan tanah, lubang kecil tetapi ragut nyawa?

“Kita mohon sangat-sangat supaya pihak berwajib untuk segerakan kajian menyeluruh bagi memastikan keadaan tanah terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti yang berpotensi menyebabkan tanah lembap berlaku ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sivakumar berkata, ramai dalam kalangan peniaga di sekitar Masjid India juga pernah melahirkan kebimbangan kerana insiden tanah jerlus sudah berlaku beberapa kali.

“Difahamkan pihak berkuasa telah menutup jalan berkenaan selama sebulan, sebelum dibuka semula beberapa minggu lepas, mendapan menyebabkan kejadian paip pecah sehingga menjejaskan perniagaan di kawasan berhampiran.

“Adakah kita akan terus bercakap dan sekadar ‘bimbang’ apabila berlakunya sesuatu malapetaka atau mahu bertindak mengelakkan ianya daripada terus berlaku berkali-kali sehingga terjadi sesuatu yang lebih besar selepas ini?” soalnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India itu disebabkan oleh faktor geografi dan struktur tanah kawasan tersebut. – MalaysiaGazette