Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dipersilakan untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya PN tidak boleh move on atau berhadapan dengan realiti kekalahan dalam PRN tersebut.

“Kalau dia tak boleh move on dia boleh ikut proseslah, dia seperti Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin) belum boleh move on,” kata Fahmi ringkas kepada media selepas ditanya mengenai tindakan PN mahu memfaikan petisyen.

Menteri Komunikasi itu ditemui selepas menghadiri Pentarama Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Media melaporkan, PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, bukti itu membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.

“Kalau ‘lawyer’ (peguam) kita kata cukup bukti (yang dikumpul) cukup, kita akan memfailkan kerana ia tidak ada tarikh tutup (untuk fail petisyen).

“Bukti ini membabitkan pelbagai. Kita (hendak fail petisyen) kerana nak pastikan PRK yang lalu mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Mohd Azmawi memenangi kerusi DUN itu selepas memperoleh 9,112 undi berbanding calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,741 undi.

Sementara itu Fahmi menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa berat sebelah dalam mengambil tindakan dan siasatan terhadap pihak yang memainkan isu 3R.

Menurutnya, sebagai Menteri Komunikasi beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak keselamatan terutama polis untuk bertindak.

“Sebarang siasatan dilakukan oleh polis, polis bukan agensi bawah saya, walau bagaimanapun tindakan tidak memilih sesiapa, sesiapa melakukan kesalahan wajar disiasat dan wajar diambil tindakan termasuk sekiranya cukup maklumat dan siasatan penuh, pihak pendakwa raya boleh bawa kes ke mahkamah.

“Bukan menteri yang memutuskan siapa yang disiasat, siapa yang tidak disiasat, kes siapa yang dibawa ke mahkamah ataupun tidak. Kita serah kepada agensi untuk melakukan siasatan tanpa rasa takut dan pilih kasih,” tegas beliau.

Mengenai desakan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO agar pengampunan penuh diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Fahmi berkata, proses bagi mendapatkan pengampunan perlu menjadi keutamaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast