KLUANG – Seorang guru wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di kilometer 80 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada pukul 1.30 petang itu mengorbankan Fauziah Selamat, 46, beralamat di Batu Pahat yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV.
Beliau memberitahu, kemalangan tersebut melibatkan SUV berkenaan dengan sebuah lori Hino dipandu Rahmat Suratman, 36.
“Siasatan awal mendapati Honda HRV itu datang dari arah Johor Bahru ke Ayer Hitam manakala lori Hino dari arah bertentangan.
“Sebaik tiba di lokasi, Honda HRV berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan seterusnya bertembunng dengan lori Hino yang datang dari hadapan.
“Akibat kejadian itu, pemandu Honda HRV mengalami kecederaan parah di badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu lori berkenaan hanya mengalami sakit bahagian lutut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette