Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menubuhkan pasukan khas memantau keselamatan geologi di Kuala Lumpur dan kawasan berisiko tinggi serta mengenal pasti lokasi berlaku tanah mendap.

Presiden Gerakan,  Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan harus mengambil tindakan berdasarkan cadangan pakar susulan kekerapan kes tanah jerlus.

Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan mengadakan mesyuarat berkala dengan semua agensi terlibat untuk mencari jalan penyelesaian.

Dominic kesal kejadian tanah mendap yang mengakibatkan seorang pelancong warga India hilang menjadi mangsa dan berharap agar keluarganya tabah menghadapi situasi itu.

Ujarnya, insiden berkenaan membuatkan orang awam merasa bimbang tentang keselamatan geologi dan pihak berkuasa perlu segera melakukan pemeriksaan secara menyeluruh.

“Kejadian tanah mendap di Jalan Masjid India mungkin bukan sepenuhnya disebabkan oleh masalah geologi tetapi memandangkan kejadian tersebut telah berlaku dan melibatkan pelancong asing, kerajaan perlu memberikan perhatian yang serius.

“Kejadian tanah mendap di Ampang pada tahun 2022 telah disahkan berpunca daripada faktor manusia tetapi kejadian itu sudah memberikan amaran keselamatan yang perlu diambil perhatian untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan kajian pada tahun 2017 bertajuk Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Analisis Proses Hierarki (AHP) untuk Mengenalpasti Kawasan Berisiko Tinggi Tanah Mendap: Kajian Kes di Kuala Lumpur dan Ampang Jaya kawasan Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya telah disenaraikan kawasan berisiko sangat tinggi untuk berlaku tanah mendap.

Jelas Dominic, Ipoh dan Kuala Lumpur mempunyai geologi batu kapur di bawah tanah dan jika berlaku hujan lebat, terdapat risiko berlaku tanah mendap bila-bila masa.

BACA: Tanah jerlus: Institut Jurutera tawar kepakaran profesional

“Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menyatakan  terdapat beberapa puluh hotspot di Ipoh dan Majlis Bandaraya sedang mengenal pasti hotspot lain.

“Kerajaan mungkin perlu mempercepatkan dan memendekkan tempoh pemeriksaan geologi di kawasan-kawasan ini terutamanya kerana geologi Kuala Lumpur yang lebih lembut di mana berat kenderaan yang melalui jalan berturap setiap hari.

“Ia ditambah pula dengan saluran air bawah tanah yang boleh menjadi punca batu-bata tersebut pecah,” tambah Dominic.

BACA: Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India disebabkan faktor geografi – TPM

Beliau menekankan kejadian berlaku melibatkan pelbagai faktor dan kemungkinan.

Justeru agensi serta pihak berkaitan perlu menyemak pelan pembangunan masa hadapan untuk mengurangkan kadar kejadian itu ke tahap paling minimum. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ops SAR mangsa tanah jerlus diteruskan hari ke-4