Fahmi Fadzil ketika menghadiri Pentarama Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjaga kehormatan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, sekiranya rakyat ternampak Jalur Gemilang jatuh di atas jalan atau berada dalam situasi yang tidak menyenangkan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Semalam di kawasan botani di kawasan Lembah Pantai saya lihat di satu sudut ditinggalkan Jalur Gemilang saya cuba meletakkan di tempat yang lebih sesuai kerana ia ditinggalkan atas lantai.

“Peringatan saya, bukan hanya perlu berbangga bahawa kita sebagai rakyat Malaysia punyai satu simbol seperti jalur gemilang, tapi kita juga wajar melakukan tindakan kecil untuk menjaga kehormatan Jalur Gemilang. Kalau kita nampak cuba perbetulkan,” nasihat beliau.

Menteri Komunikasi itu ditemui selepas menghadiri Pentarama Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai.

Ia bagi menyemarakkan lagi rasa cinta dan sayang kepada Malaysia dan bagi menyebarkan maklumat mengenai program Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.

Program di bawah Jabatan Penerangan itu akan menjelajah ke sejumlah sekolah untuk memberikan sedikit pengisian sempena Bulan Kebangsaan dan bagi menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Sementara itu Fahmi berkata, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim esok bagi mempersembah maklum persiapan Hari Kebangsaan 2024.

Menurut Fahim, beliau akan diiringi Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

“Masuk hari terakhir Hari Kebangsaan, esok saya dan KSU akan menghadap Agong untuk sembah maklum persiapan sambutan Hari Kebangsaan.

“Kita telah memberi maklumat bukan sahaja susun atur tetapi juga laluan serta pengangkutan awam seperti teksi air percuma yang boleh digunakan dari sejumlah lokasi di sekitar Tasik Putrajaya.

“Membolehkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka di satu lokasi ada 7,000 pakir yang disediakan,” kata Fahmi.

Kapasiti tempat duduk awam bertingkat di Dataran Putrajaya dilaporkan akan ditambah bagi menjamin keselesaan orang ramai yang akan berhimpun di kawasan itu bagi menyaksikan pelbagai persembahan pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Tambahan kemudahan itu juga bertujuan memastikan semua pengunjung berskala besar, yang dianggarkan menjangkau 200,000 orang itu dapat merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast