Gambar hiasan. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 yang akan disambut pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipertanggungjawabkan bagi mengetuai acara melibatkan persembahan udara.

Pesawat-pesawat udara yang terlibat dalam acara gemilang sambutan di peringkat negara ini akan memulakan latihan penerbangan taktikal bermula 27 hingga 31 Ogos depan.

Menurut satu kenyataan TUDM, sepanjang latihan berlangsung, pesawat-pesawat tentera dan pasukan keselamatan ini akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan tertentu khususnya di sekitar ruang udara Putrajaya dan  Selangor.

“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera khususnya pesawat TUDM dan ATM serta pasukan keselamatan lain terbang rendah di sepanjang tempoh latihan dilaksanakan,” kata TUDM dalam kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette