Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menempelak pihak yang mengecam usaha kerajaan membawa pesakit Palestin yang menjadi mangsa keganasan penjajah Israel.

Presiden MAHAR, Jismi Johari menggesa pihak terbabit supaya tidak menimbulkan perpecahan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Usaha Malaysia dalam membantu warga Palestin mendapat rawatan di sini tidak perlu dipertikai atau menjadi bahan untuk membentuk kekeliruan atau perpecahan.

“Malaysia sentiasa kehadapan dalam membantu mereka yang ditimpa krisis dan bencana. Sejak dari perang Vietnam kita telah menyantuni para pelarian hinggalah ke krisis Myanmar, Bosnia, Yemen, Syria dan kini Palestin.

“Para penyelamat dari Malaysia pula hadir di setiap kawasan bencana seperti di Palu, Filipina, Aceh, Indonesia dan Turki,” kata Jismi dalam kenyataan.

Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari bercakap pada sidang media mengenai Ops Ihsan Humanitarian Aid to Gaza di Duta Nusantara Clubhouse, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

Menurut Jismi, MAHAR menyokong usaha kerajaan menyediakan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang amat memerlukan bantuan.

MAHAR percaya setiap individu berhak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan agama.

“MAHAR juga mengiktiraf bantuan yang diberikan kepada rakyat Palestin adalah satu tindakan kemanusiaan yang menunjukkan solidariti dan kepedulian mendalam terhadap mereka yang memerlukan.

“Berpegang teguh kepada prinsip-prinsip keadilan, kesetaraan, dan martabat manusia, kami terus menyokong usaha-usaha yang bertujuan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin sama ada dari kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, syarikat swasta atau inidvidu,” katanya.

Gaza kini berada di dalam genting dimana 1.9 juta orang kini tiada tempat tinggal dan lebih 40,000 orang syahid akibat serangan Israel.

Manakala perkhidmatan kesihatan dan pendidikan juga kini lumpuh mewajarkan Malaysia untuk bersama membantu mereka dalam meringankan beban yang dihadapi.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mempersoalkan usaha murni kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk diberi rawatan.

Anwar berkata, kenyataan yang buat oleh pihak tersebut biadab dan tidak tahu erti kemanusiaan.

Terdahulu seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dari Sarawak memuat naik kenyataan itu di Facebooknya untuk mempersoal tindakan kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast