KUANTAN – Kes kematian kedua akibat strok haba berlaku di Pahang bagi tahun ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman berkata, ia membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dari daerah ini yang menyertai program larian sekitar Teluk Chempedak pada 24 Ogos lepas.
“Mangsa dipercayai telah pergi ke Bukit Pelindung untuk aktiviti larian mendaki bermula pukul 6.40 pagi namun telah dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pukul 3 petang,” katanya.
Berikutan itu, Dr Rusdi berkata, mangsa kemudian terus dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
Mangsa kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaan yang semakin tenat dan akhirnya menghembuskan nafasnya terakhir pukul 9.39 malam semalam meski selepas diberi rawatan optima.
“Sebab kematian adalah heatstroke with multi organ failure,” katanya.
Sebagai makluman, kes kematian pertama akibat strok haba di Pahang berlaku pada 2 Februari lalu melibatkan anggota APM yang sedang menjalani Latihan di Bandar Jengka, Maran.
Sehingga kini, jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada tahun 2024 adalah 18 kes yang mana 14 daripadanya melibatkan kelesuan haba dan empat melibatkan strok haba dengan dua kematian.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35 selsius di mana julat suhu pada hari kejadian adalah dalam linkungan 24 hingga 33 selsius.
Beliau turut menasihati orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar.
Antara langkah yang boleh diambil adalah seperti minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang.
Selain itu, guna topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari serta pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan supaya kekal sihat di musim cuaca panas dan tidak menentu ini. – MalaysiaGazette