Mohamed Khaled (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Rumah Merdeka selepas melawat KTP Ternakan Kelulut Sedili di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam proses rundingan harga tanah dengan kerajaan Sarawak untuk membina Markas Wilayah Laut 4 (Mawilla 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kerajaan negeri memberi sokongan kuat bagi memastikan pembinaan pangkalan tambahan baharu tersebut dapat dilaksana.

Menurut beliau, Bintulu dipilih kerana kedudukannya strategik untuk pembinaan pangkalan tersebut kerana perairannya mempunyai kedalaman yang sesuai berbanding tempat lain.

“Mengikut perancangan kita, bila kapal misi pesisir (LMS)
siap akan ditempatkan di situ dan kita sedang berunding daripada segi harga (harga premium tanah).

“Jadi kalau harga itu dipersetujui oleh kedua-dua pihak, maka kita akan mula bina pangkalan baharu iaitu pangkalan tambahan baharu untuk tentera laut di Bintulu.

“Kita di Malaysia timur hanya ada satu pangkalan iaitu di Sabah. Kita tidak ada di Sarawak kerana keadaan (perairan) Sarawak tidak sesuai sebab air cetek, tak dalam.

“Hanya di situ (perairan Bintulu) sahaja yang sesuai,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak Knowledge Transfer Program (KTP) Ternakan Kelulut Sedili di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, dalam lawatan sulungnya ke Sarawak, Mohamed Khaled bertemu dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg membincangkan perkara tersebut.

Mohamed Khaled memberi jaminan kepada Abang Johari  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited untuk menjaga keselamatan Sarawak sama ada dari ancaman tradisional atau ancaman bentuk baharu.

“Komitmen kita terhadap kawalan keselamatan itu perlu selari dengan pembangunan sektor ekonomi yang sedang berlaku di Sarawak dan bagi mengetatkan kawalan sempadan kita kini mempunyai 17 pos dan banyak lagi yang sedang dalam pembinaan yang apabila semuanya siap nanti akan ada 23 pos kawalan tentera di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan,” ujar Mohamed Khaled.- MalaysiaGazette