Mohamed Khaled (tengah) mendengar penerangan berkenaan ternakan kelulut di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja (TLDM) yang tenggelam semalam pada kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop di sini sudah berusia hampir 50 tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal terbabit sudah beroperasi sejak 1979 namun usianya bukan punca sebenar kapal KD Pendekar karam.

“Kita masih menunggu laporan siasaran berhubung insiden ini.
Satu siasatan telah pun dimulakan untuk kita memahami apakah punca-puncanya (kapal KD Pendekar karam), tetapi satu lagi perkara, kapal-kapal ini memang kapal- kapal lama bermula beroperasi sejak tahun, kalau tak silap saya 1979 sudah dekat 50 tahun.

“Atas sebab itu sekarang ini kerajaan sedang usaha gigih hendak pastikan kapal baharu yang sedang kita bina itu dapat disiapkan ikut jadual, di samping kita beli kapal-kapal yang baharu dan proses ini akan kita teruskan.

“Kita tidak nafikan bahawa usia usia kapal- kapal kita yang telah terlalu lama tetapi itu bukannya mungkin antara punca, puncanya seperti yang dikatakan dia terlanggar objek jadi yang ini sedang dibuat kajian dan yang penting syukur tidak libatkan korban nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memaklumkan kementeriannya akan membuat pemeriksaan terhadap 10 hingga 15 buah kapal TLDM berusia lebih 40 tahun.

“Kita akan pastikan diteliti betul-betul lebih- lebih lagi kapal yang berusia lebih daripada 40 tahun. Terdapat satu pertiga kapal kita sangat lama usianya.

“Kita juga sedang membina Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan dalam proses pembelian Kapal Misi Pesisir (LMS) dari Turkiye.

“Kapal LCS pertama akan beroperasi pada tahun 2026, kita ada lima kapal LCS, insya-Allah setiap tahun ada satu kapal LCS. Untuk LMS pada bulan Oktober, November dan Disember tahun 2027,” katanya.

Semalam, TLDM mengesahkan kapal miliknya iaitu KD Pendekar tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada pukul 3.54 petang.

TLDM menerusi kenyataan memaklumkan usaha untuk menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.

“Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya, tiada kecederaan dilaporkan.

“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor.

“Aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika kapal berkenaan melaksanakan penugasan operasi yang dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast