Tan Sri Razarudin Husain

KUALAL LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi telah mengesahkan  Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu akan dituduh di Mahkamah di Kelantan.

“Kita telah mengemukakan kertas siasatan yang lengkap kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada hari sama selepas Ahli Parlimen Pagoh itu dirakam keterangan di ibu negara pada minggu lalu.

“Kini polis sudah mendapat arahan daripada AGC untuk menuduh beliau (Muhyiddin) di Mahkamah Gua Musang pagi esok (Selasa).

“Pertuduhan ke atas Muhyiddin akan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada Minggu lalu, Muhyiddin disiasat selepas didakwa menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) menerusi ceramahnya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Terdahulu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor dilaporkan telah mengesahkan maklumat mengenai pertuduhan ke atas Muhyiddin di mahkamah.

“Ya, Tan Sri akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK (Pilihan Raya Kecil) Nenggiri baru-baru ini,” katanya.

Razarudin juga pernah mengesahkan setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada 66 saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berhubung pemilihan Perdana Menteri.

Tindakan itu mengundang kemurkahan Tengku Mahkota Pahang yang mendesak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera ke atas Muhyiddin.- MalaysiaGazette