Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke mahkamah bagi memberikan keterangan saksi berhubung saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan memfitnah asal usul pada 2017 ketika di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkali-kali dan berterusan mendakwa namanya bukan Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty seperti didakwa oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada tahun 2017.

Kata bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebenarnya telah menipu berkaitan dakwaan tersebut kononnya beliau memiliki atau melihat kad pengenalan biru menyatakan namanya mempunyai bin Iskandar Kutty.

“Nama Mahathir bin Iskandar Kutty itu bukan nama saya. Apabila Ahmad Zahid (defendan) kata Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty, saya tahu beliau berbohong. Kutty Kutty ini tidak wujud.

“Sepanjang masa sejak saya lahir sehingga lulus jadi doktor, tidak ada sesiapa yang pernah menggelar saya Mahathir Iskandar Kutty. Ahmad Zahid berbohong. Nama saya adalah Mahathir bin Mohamad bukan Mahathir bin Iskandar Kutty.

“Untuk makluman, bapa saya berasal dari Pulau Pinang dan seorang Melayu di mana nenek moyang saya mempunyai darah yang berketurunan dari negeri selatan India iaitu Kerala.

“Ibu saya pula berasal dari Kedah dan masing-masing berketurunan Melayu sejati,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Tinggi, Gan Techiong hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir sebagai defendan dalam kes saman ‘Kutty’ oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2024.

Beliau berkata demikian ketika perbicaraan saman olehnya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tun Dr Mahathir yang ketika ini usianya mencecah 99 tahun selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid sebagai defendan kerana mengeluarkan kenyataan palsu berbaur fitnah dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Ketika Dr Mahathir memberikan keterangan sebagai saksi utama, Ahmad Zahid kelihatan tenang melihat perjalanan prosiding sambil sesekali melihat telefonnya setelah lebih satu jam, beliau memohon untuk beredar memandangkan ada urusan rasmi pagi ini.

Dalam pada itu, ketika memberikan keterangannya, Tun Dr Mahathir mendakwa, dakwaan Ahmad Zahid di hadapan ahli-ahli UMNO kononnya beliau umpama  ‘habis madu sepah dibuang’ itu tidak betul sama sekali.

“Saya nafikan perkara itu. Tindakan Ahmad Zahid mendakwa nama saya ialah Dr Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty ini sebenarnya satu ciptaan palsu untuk memburukkan imej saya. Jika betul adanya kad pengenalan biru yang didakwanya itu, tunjuk,” katanya.

Prosiding mahkamah akan sambung selepas makan tengah hari.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast