Gambar ihsan IPD Bentong

KUANTAN – Seorang pemandu e-hailing warga emas maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan tembok konkrit di kilometer 15.8 Jalan Genting Highlands, Bentong petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataanya berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kereta dipandu lelaki warga tempatan bersama seorang penumpang itu dari Genting Highlands menghala ke Klang.

“Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan tembok konkrit,” katanya.

Supt Zaiham Mohd Kahar

Akibat kemalangan tersebut, mangsa, Hon Hoock Chee, 68 cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.

Manakala, penumpang yang merupakan seorang wanita berusia 70 tahun tidak mengalami kecederaan.

Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian agar tampil bagi membantu siasatan dan turut menasihati  semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati memandu serta memastikan kenderaan sentiasa diselenggara. – MalaysiaGazette