Sumber foto: Laman web trdi.my

KUALA LUMPUR – Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri itu.

Memetik laporan portal trdi.my, Presiden PRAT, Datuk Toh Chin Yaw berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat itu.

“Kami salah faham tentang isu kod pakaian, kami ingat ia biasa sahaja kerana ia diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan, sehinggalah ia menjadi isu baru kami sedar kesilapan kami.

“Pengurus pasukan selalu berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri dan isu mengenai pakaian sering ditekankan, kami fikir pakaian yang telah ditetapkan badan renang negara dan dunia itu tiada masalah,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya di pejabat MSNT hari ini.

Tambah Chin Yaw, pihaknya sebelum ini juga banyak kali kali berjumpa dengan MSNT dan berbincang tentang syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

“Dalam pertemuan sebelum ini juga, kita memohon untuk menghantar atlet-atlet ini ke SUKMA, kerana mereka telah lama berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara melalui persatuan.

“Tetapi untuk SUKMA ini kita hantar atlet melalui inisiatif PRAT sendiri dengan peruntukan dan tanggungan persatuan serta ibu bapa atlet tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Sukan Terjun, Foo Wai Choo mengakui Keajaan Negeri Terengganu sudah melarang pihaknya menghantar atlet wanita beragama Islam ke SUKMA kerana menyalahi kod etika pakaian.

“Selepas ini kami akan cuba untuk mencari bakat daripada kalangan bukan Islam sebagaimana dibenarkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya atlet dalam sukan terbabit disertai bukan Islam.

“Bahkan atlet berkenaan turut akan diletakan dalam program pembangunan sukan Terengganu, kerajaan akan beri sokongan.

“Dalam isu yang telah tular sehari dua ini kita berharap agar semua pihak tidak 100 peratus menyalahkan persatuan, isu ini ada hikmahnya, kita boleh melihat rakyat menyokong penuh garis panduan sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri.

“Ia sangat berbeza dengan SUKMA 2022 dahulu. Kita dikecam sewaktu kerajaan tidak membenarkan atlet wanita Islam sertai gimnastik, sekarang dikecam kerana didakwa menghantar atlet wanita islam sertai acara terjun. Jadi yang lemah kita perbaiki, yang baik kita teruskan,” jelasnya.

Sebelum ini, tular di laman sosial berkenaan penyertaan atlet terjun wanita beragama Islam yang mewakili Terengganu yang bercanggah dengan kod etika pemakaian atlet Muslim ketika bersukan yang ditetapkan kerajaan negeri itu. – MalaysiaGazette