Mohamed Khaled (tengah) menyampaikan hadiah kepada pereka infografik kelulut selepas melawat KTP Ternakan Kelulut Sedili di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – UMNO tidak mahu membuat sebarang jangkaan berkenaan peluang untuk menang Pilihan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun begitu UMNO akan tetap bekerja keras untuk menang kerusi DUN tersebut.

“Bila kita masuk bertanding memang kita nak menang. Calon UMNO yang akan bertanding nanti akan dibincangkan dalam mesyuarat UMNO Johor petang ini.

“Presiden UMNO akan hadir,” katanya apabila ditanya siapa calon UMNO yang akan bertanding dan sama ada akan mengekalkan kuota wanita pada PRK DUN berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Tapak Knowledge Transfer Programme (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sedili Kecil di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang akibat pendarahan dalaman.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette