AMPANG – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki merogol seorang remaja kurang upaya (OKU) yang dikenalinya melalui sebuah aplikasi mencari jodoh dalam kejadian yang berlaku di Taman Saga di sini pada 17 Ogos lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, polis menerima aduan berkaitan insiden itu daripada ibu mangsa.
Terdahulu, ibu mangsa, 36 ada bertanya kepada mangsa mengenai kamera litar tertutup (CCTV) di ruang tamu mereka di yang tidak berfungsi.
“Mangsa yang juga OKU kategori ketidakupayaan intelektual berusia 16 tahun kemudian memaklumkan kepada ibunya tentang kejadian yang menimpa dirinya,” katanya dalam kenyataan tengah hari ini.
Susulan itu, laporan polis dibuat dan juga bertindak atas maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya berjaya menangkap seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh.
Katanya lagi, suspek tempatan, 24, telah ditahan di rumahnya yang terletak di Subang pada jam 10 malam 21 Ogos lalu.
Siasatan lanjut polis mendapati suspek merupakan kenalan mangsa yang dikenali menerusi aplikasi cari jodoh dan semasa kejadian CCTV itu dicabut oleh mangsa sebab nak bagi suspek masuk (rumah), kata Nazruel Ekram.
Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah dan lelaki itu kini direman selama lima hari bermula 22 Ogos lalu sehinga hari ini dan akan disambung reman lagi pada hari ini untuk melengkapkan kertas siasatan polis.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan hendaklah kenakan hukuman sebat. – MalaysiaGazette