KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menafikan artikel berkenaan ‘gua kosong di bawah bandar raya Kuala Lumpur’ yang didakwa ditulis oleh ahli geologis dari jabatan itu yang bernama Dr. Sarah Jamal.
Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, UM, Prof. Madya Dr. Meor Hakif Amir Hassan berkata, tiada ahli geologis bernama Dr. Sarah Jamal yang berkhidmat di UM.
Malah, ujar beliau, nama Sarah Jamal juga tidak didaftarkan dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
“Kandungan artikel ini adalah tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu.
“Staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India yang melibatkan kehilangan nyawa memandangkan kerja-kerja SAR (carilamat) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan, serta punca kejadian masih tidak dipastikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial khususnya Facebook berkenaan kenyataan yang memetik ahli geologis terkemuka bernama Dr. Sarah Jamal yang didakwa kononnya pakar dari UM.
Menerusi kenyataan yang tular itu, Sarah mendedahkan kawasan di bawah bandar raya Kuala Lumpur adalah sebuah gua kosong yang amat dalam yang terbentuk berjuta-juta tahun lalu dan Kuala Lumpur seolah-olah dibina di atas `atap’ sebuah gua raksasa.
Kenyataan yang tular itu turut disertakan dengan grafik yang dijana oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memperlihatkan gua kosong besar di bawah pusat bandar raya Kuala Lumpur.
Infografik yang palsu dan tidak benar itu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan netizen berhubung keselamatan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya untuk dihuni.
Ia rentetan kejadian lubang benam atau mendapan tanah di Kuala Lumpur melibatkan seorang pelancong India di Jalan Masjid India, baru-baru ini.
Selepas empat hari kejadian itu, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter masih gagal ditemukan sehingga kini. – MalaysiaGazette