Pegawai MAQS memeriksa dagangan kayu yang mengandungi kulat dibawa masuk Pelabuhan Pangakalan Kontena Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengarahkan 10 buah kontena dagangan kayu dihantar kembali ke negara asal iaitu Latvia selepas didapati mengandungi kulat.

MAQIS Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, kontena yang mengandungi kayu seberat 251 tan dibawa masuk ke negara ini menerusi Pelabuhan Pangakalan Kontena Butterworth di sini hari ini.

“Dagangan dianggarkan bernilai RM203,726 itu tidak dibenarkan masuk ke negara ini selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan Maqis membawa kepada penemuan kulat Trichoderma sp. pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) dalam 10 kontena tersebut.

kulat Trichoderma sp. ditemui pada kayu jenis White Birch Logs (Betula Pendula) itu.

“Kawalan ke atas perosak dan penyakit seperti kulat kayu adalah penting bagi memastikan industri pertanian negara terpelihara terutamanya melibatkan tanaman ladang dan lain-lain,” katanya.

Tambah kenyataan itu, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, produk pertanian dan mikroorganisma yang mempunyai perosak adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maqis juga sentiasa komited untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sekali gus menjamin masa depan industri pertanian negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast