Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang memasuki hari kelima disambung semula pagi hari ini. Foto SADIQ SANI, 27 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan teknikal Agensi Nuklear Malaysia menjadi pasukan baharu berada di lokasi tanah jerlus di Masjid Indian pagi tadi bersama alat peranti radar menembusi tanah dalam usaha mengesan wanita warga India, Vijayalerchumy.

MalaysiaGazette difahamkan, GPR akan digunakan untuk mengesan dan menjejaki kedudukan tepat mangsa tertimbus yang masih sedang dicari pasukan penyelamat (SAR).

Peralatan sama telah digunakan di kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 19 Disember 2022.

Difahamkan, pasukan Indah Water Konsortium telah melaksanakan teknik flushing awal pagi tadi.

Selain itu, mereka turut mengerakkan kamera ke dalam sistem saliran kumbahan bagi membantu kelancaran teknik flushing (menahan air sehingga melimpah dan melepaskan dengan kelajuan tinggi).

Ketika operasi itu dijalankan, kerja-kerja overhaul turut dikendalikan IWK bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat si plan Loji Rawatan Kumbahan IWK di Pantai Dalam.

Semalam, pancutan air bertekanan tinggi telah dikendalikan untuk membersihkan serpihan dan sisa-sisa dalam saliran kumbahan di Jalan Masjid India dalam usaha mencari dan menjejaki wanita yang hilang itu. – MalaysiaGazette