Akademi TPC ungguli kejohanan Piala Junior Harimau Malaya kategori bawah 12 tahun.

KUALA LUMPUR – Akademi Topo Personal Coaching  (TPC) semakin menunjukkan taring apabila mengungguli dua kategori pada final Kejohanan Piala Junior Harimau Malaya, baru-baru ini.

Pengasas akademi, Muhammad Azril Abdul Hamid berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pemain yang mana pasukan bawah 12 tahun itu menjuarai kategori Cup manakala pasukan bawah 10 tahun menjuarai kategori Plate.

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras dan dedikasi seluruh pemain dan staf kejurulatihan yang mana faktor utama adalah kombinasi strategi yang berkesan, latihan yang konsisten, dan semangat berpasukan yang kuat.

“Dalam kategori Cup, kami melihat prestasi luar biasa daripada pemain yang menunjukkan kemahiran teknikal dan strategi yang cemerlang. Bagi pasukan bawah 10 tahun, pencapaian menjuarai kategori Plate menunjukkan kemajuan ketara dalam pembangunan dan kerjasama mereka.

“Kami memastikan setiap pemain memahami peranan mereka dalam pasukan dan kami sentiasa memberi penekanan kepada latihan teknikal dan taktikal.

“Selain itu, keupayaan pemain untuk beradaptasi dengan pelbagai situasi permainan telah membantu kami mengatasi cabaran yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Akademi TOC berjaya menjuarai kategori Cup manakala pasukan bawah 10 tahun menjuarai kategori Plate.

Muhammad Azril menambah, salah satu cabaran terbesar dalam kejohanan Piala Junior Harimau Malaya itu adalah berdepan dengan pasukan lawan yang kuat dan berpengalaman.

Namun katanya, pemain muda akademi itu berjaya mengatasi cabaran dengan memberi fokus kepada persediaan taktikal dan mental.

Pada masa sama katanya, barisan kejurulatihan juga memberi sokongan psikologi kepada pemain untuk memastikan mereka kekal tenang dan berkeyakinan semasa perlawanan.

“Selepas kejohanan ini, kami akan terus fokus kepada pembangunan individu dan pasukan.

“Kami merancang untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal pemain, serta memberi tumpuan kepada aspek fizikal dan mental permainan.

“Sasaran kami adalah untuk mengekalkan prestasi yang tinggi dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kejohanan akan datang,” katanya.

Muhammad azril merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah mewakili pasukan bola sepak Malaysia serta beberapa pasukan bola sepak profesional dalam negara dalam Liga Super.

Ketika ini, Akademi TPC mempunyai barisan kejurulatihan yang terdiri daripada 15  jurulatih yang berpengalaman luas dalam pembangunan bola sepak akar umbi lebih daripada 10 tahun. – MalaysiaGazette