Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada media berkenaan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 ketika tinjauan Malaysia Gazette di World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pemilihan calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hanya diputuskan selepas mesyuarat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dimuktamadkan pada malam ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana penentuan calon PRK Mahkota itu akan dilakukan pihaknya tanpa melibatkan mana-mana pihak.

“Saya ada dua mesyuarat semalam di Johor, pertama dengan Jawatankuasa UMNO dan BN. Malam tadi mesyuarat dengan BN-PH.

“Hari ini kesimpulan daripada cadangan dua mesyuarat (sebelum ini) akan dibawa (dalam mesyuarat) malam ini.

“Calon kemudian laa, kita yang tentukan,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK DUN Mahkota di Saujana, Johor Bharu.

Mesyuarat khas itu dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, serta 26 ketua UMNO negeri ini.

Khamis lalu, Wanita UMNO dilaporkan menuntut supaya calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota kekal dipilih daripada sayap parti itu.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dilaporkan berkata, kerusi itu penting bagi Wanita UMNO meneruskan legasi penyandang sebelum ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September depan.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Bekas ADUN Mahkota itu, yang juga Exco Wanita UMNO menang dengan majoriti lebih 5,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. – MalaysiaGazette