NIBONG TEBAL – Gambar tular di laman sosial menunjukkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Bukit Tambun di sini sebenarnya berlaku pada 2020.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim berkata, pihaknya mengesan hantaran di Facebook oleh satu akaun yang memaparkan bendera Malaysia dipasang dengan cara terbalik.
“Hasil siasatan mendapati kes itu berlaku pada 2020 di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Bukit Tambun yang diulang siar oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar tidak memanipulasi kes tular yang boleh menyebabkan kekeliruan dan secara tidak langsung mencetuskan isu perkauman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Boo Khim, orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih serta tidak menyebarkan maklumat tidak tepat. – MalaysiaGazette