Buah petai dan jering didapati mengandungi ulat Mussidia pectinicornella yang berisiko kepada komoditi pertanian di negara ini.

MELAKA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis berjaya menahan kemasukkan jering dan
petai berulat tanpa dokumen pengimportan dari Dumai, Indonesia.

Pengarah Maqis Melaka dan Negeri Sembilan, Nora Dinah Abdul Rahman berkata, dalam kejadian 20 Ogos lalu, pihaknya berjaya menemukan ulaman itu dalam sebuah kotak seberat empat kilogram dianggarkan bernilai RM200.

“Hasil pemeriksaan rutin pegawai penguat kuasa Maqis di laluan Jeti Penumpang Port Dickson, Negeri Sembilan, produk pertanian itu didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengimportan yang sah.

“Ini termasuklah seperti sijil fitosanitasi atau pengesahan bahawa rawatan atau keperluan-keperluan yang dinyatakan di dalam permit import telah dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menahan kemasukkan jering dan
petai berulat tanpa dokumen pengimportan dari Dumai, Indonesia.

Tambahnya, melalui pintasan dan persampelan yang dilakukan juga, buah petai dan jering didapati mengandungi ulat Mussidia
pectinicornella yang berisiko kepada komoditi pertanian di negara ini.

“Justeru, barangan pertanian tersebut telah disita dan akan dilupuskan mengikut kaedah pelupusan yang ditetapkan.

“Individu yang ingkar boleh dihadapkan prosiding undang-undang mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Tegas Nora Dinah, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan terhadap keluaran pertanian yang diimport ke dalam negara bagi menjamin setiap keluaran pertanian tiada perosak, penyakit atau bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette