Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pertolongan berbentuk bantuan teknikal perlu kerana jabatan itu mempunyai kepakaran berkaitan.

“Kita memang memberikan kerjasama yang sepenuhnya sebab kita merasakan insiden yang berlaku adalah akibat bencana alam.

“Ia sama juga seperti dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali…walaupun jalan itu adalah jalan negeri Selangor tetapi JKR memberi bantuan teknikal sebab kita ada kepakaran, jadi kita bantu,” katanya menerusi rakaman yang dikongsikan kepada media hari ini.

Alexander Nanta berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif yang pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada JKR dalam usaha mencari seorang warga India yang terjerlus dalam kejadian di Masjid India pada Jumaat lalu.

Pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah sedalam lapan meter.

Terdahulu media melaporkan pasukan penyelamat, memfokuskan pencarian pada kawasan saluran paip kumbahan di bawah tanah kawasan kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan khidmat Unit Skuba dalam mencari mangsa selepas khidmat anjing pengesan menemui jalan buntu.

Indah Water Konsortium turut komited dalam membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan membuka setiap lurang pembentungan sehingga ke loji rawatan di Pantai Dalam, di sini. – MalaysiaGazette