JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) akan berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memperkenalkan MTPN pada tahun ini.
Presiden MTPN, Prof Datuk Dr Kevy Kv Yeo berkata, pihaknya sudah bertemu menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali selepas pada bulan lalu bagi membincangkan kerjasama melindungi serta memperkasa hak pengguna dalam mendepani cabaran dan isu kepenggunaan semasa peringkat domestik atau global.
“Konsep Kosmopolitanisme Pengguna adalah sebuah ideologi baharu yang lebih efektif dan sistematik. Konsep ini akan memberi indikator besar dan menyeluruh dalam memberi keseimbangan kepada sebuah gagasan komuniti pengguna lebih harmoni dan adil untuk semua bangsa.
“Kosmopolitanisme Pengguna ini merujuk kepada pandangan atau sikap yang menekankan kepada aspek keuniversalan, inklusiviti dan pemahaman saling menghormati antara individu atau kumpulan daripada pelbagai budaya, bangsa atau latar belakang.
“Dasar konsep ini melibatkan penekanan kepada keadilan, hak asasi manusia dan penyesuaian kepada keperluan pelbagai komuniti. Kesedaran terhadap budaya dan nilai-nilai global yang akan diintegrasikan untuk memastikan pengguna yang bertanggungjawab serta memperkaya pengalaman digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kevy Yeo berkata, ia berbeza dengan konsep Pengguna Kosmopolitan iaitu individu yang terbuka terhadap pelbagai budaya, pemikiran dan pengalaman selain mencari peluang belajar daripada kepelbagaian, memupuk pemahaman antarabangsa serta menghargai perspektif global dalam interaksi kehidupan mereka.
Bagi memastikannya lebih spesifik dan sistematik, Kosmopolitanisme Pengguna mempunyai lima teras utama iaitu Ekologi Pendidikan; Ekologi Dasar; Ekologi Budaya; Ekologi Ekonomi dan Ekologi Pengguna.
“Ekologi Pendidikan bertujuan membangunkan program pendidikan dan kempen kesedaran untuk menyokong pemahaman kepentingan kepelbagaian budaya dan global dalam penggunaan teknologi. Elemen ini juga akan mempromosikan idea pembelajaran sepanjang hayat yang akan dapat mengubah nasib dan masa depan pengguna,” katanya.
Ekologi Dasar pula, katanya, bertujuan menyemak dan memahami dasar lama dan baharu secara berterusan bagi tujuan memastikan dasar yang berkaitan adalah selaras dengan kemajuan pasaran, keperluan sosial dan kepentingan pengguna.
“Ekologi Budaya akan menyediakan peluang promosi perniagaan yang berbeza kepada perusahaan lain, pada masa yang sama juga menyediakan potret perniagaan yang lebih jelas dan tepat melalui pemahaman budaya tempatan. Sementara Ekologi Ekonomi akan menjamin ekosistem perniagaan yang lebih sihat dan berkualiti tinggi,” ujarnya.
Bagi Ekologi Pengguna, katanya, ia bertujuan memahami dan mengiktiraf kewujudan hak asasi manusia pengguna serta mematuhi undang-undang, peraturan atau dasar yang digubal kerajaan untuk melindungi pengguna.
Beliau berharap, menerusi pendekatan holistik itu masyarakat dan kerajaan dapat menerima Kosmopolitan Pengguna dengan baik untuk pembangunan positif pengguna dalam era digital pada masa kini.- MalaysiaGazette