Peguam, Azmi Mohd Rais bercakap kepada wartawan mengenai permohonan cerai oleh pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof terhadap isterinya Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini. Foto SADIQ SANI, 27 OGOS 2024

GOMBAK – Proses perceraian Syamsul Yusof bersama isterinya, Ira Kazar nampak lebih mudah berbanding kes perpisahannya dengan kes Puteri Sarah Liyana.

Peguam syarie yang mewakili pengarah filem berkenaan, Azmi Mohd Rais berkata,  ia kerana proses perceraian kali kedua ini difailkan sendiri oleh Syamsul.

Jelas Azmi, bapa anak dua itu sudah nekad dan bersedia untuk ‘melepaskan’ isterinya, Ira atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin namun akur dengan penangguhan prosiding berkenaan hari ini.

Mahkamah Syariah hari ini menetapkan tarikh penetapan sebutan kes itu pada 25 September depan memandangkan peguam syarie mewakili Ira tidak dapat hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

“Kali ini Syamsul yang memohon perceraian, secara langsung dia memang sudah bersedia. Dia terpaksa terima hakikat kes ditangguhkan cuma dia memohon untuk saya berbincang dengan peguam Ira untuk diteruskan dan dipercepatkan.

“Penangguhan ini kerana Ira tidak hadir dan peguam yang baru dilantik juga tidak hadir kerana ada kes di Kluang, Johor,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Tinjauan wakil media di perkarangan mahkamah hari inimenantikan pasangan berkenaan pada prosiding hari ini hampa apabila kedua-dua plantif dan defendan tidak hadir.

Menurut Azmi, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengadakan perbincangan bersama peguam mewakili Ira, Muhammad Fadil Abdul Razak dalam masa terdekat.

Susulan itu Ira dikehendaki hadir bersama peguamnya pada tarikh sebutan yang ditetapkan pada mahkamah syariah pukul 3 petang, 25 September depan.

BACA : Sudah lima tahun Syamsul hilang, tak hubungi saya – Yusof Haslam

“Mahkamah akan tanya Ira adakan bersetuju dengan tarikh penceraian tersebut. Sekiranya bersetuju saya akan bentangkan fakta dan dapatkan kebenaran mahkamah, Syamsul boleh melafazkannya (cerai),” katanya.

BACA : Syamsul fail cerai ke atas Ira Kazar?

Terdahulu pada 19 Ogos lalu, Azmi mengesahkan Syamsul Yusof telah memfailkan cerai terhadap Ira atas sebab mereka tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazarudin Saisi berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.

Pernikahan itu disahkan sendiri oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya pada Januari tahun lalu.

Syamsul pernah berkahwin dengan Puteri Sarah Liyana pada 8 Mac 2014 namun perkahwinan sembilan tahun mereka berakhir dengan perceraian apabila pengarah itu melafazkan talak satu pada 14 Jun 2023.

Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah yang berusia lima tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Syamsul sedia ‘lepaskan’ Ira namun peguam isterinya tak hadir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast