Suspek lelaki berusia 21 tiba di Mahkamah Jasin pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis direman selama tujuh hari sehingga 2 September ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

JASIN – Polis menahan reman suspek keempat kes bunuh seorang lelaki selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, dekat sini, malam Ahad lalu.

Kes berkenaan turut tular di media sosial apabila adik mangsa diserang kumpulan itu di Unit Kecemasan Hospital Jasin ketika membawa abangnya untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

Terdahulu, suspek lelaki berusia 21 tahun memakai pakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Jasin pada pukul 9.25 pagi dengan diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah reman.

Majistret Mazana Sinin kemudian membenarkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 September ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan membunuh.

Semalam, tiga suspek berusia 21,22 dan 31 tahun direman sehingga 1 September ini di bawah seksyen sama.

Polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan bagi kes itu bagi kesalahan ugutan, merusuh dan khianat terhadap kenderaan mengikut Seksyen 506 KK, Seksyen 148 KK dan Seksyen 427 KK.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, polis masih memburu beberapa lagi suspek kejadian itu yang masih bebas.

“Setakat ini empat suspek sudah direman berusia antara 21 hingga 31 tahun selama tuduh hari sehingga 1 dan 2 September ini.

“Kita masih memburu lagi suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 sambungan 206.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dalam kejadian pada pukul 8.39 malam Ahad lalu, mangsa yang berusia 24 tahun cuba diselamatkan oleh adiknya dengan membawa lelaki berkenaan ke hospital.

Kedua-dua mereka bagaimanapun dikejar suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin sebelum tular beberapa klip video berkaitan pergaduhan itu sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Ketika cuba melarikan diri dari serangan itu, adik mangsa terlanggar sebuah ambulans hospital namun berjaya memecut kenderaannya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi mendapatkan bantuan serta membuat laporan kejadian.

Mangsa yang ditetak kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada 10.15 malam ketika sedang mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette