GOMBAK – Pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof, 40, sudah bersedia melepaskan isterinya, Ira Kazar hari ini selepas membuat permohonan perceraian pada minggu lalu.
Bagaimanapun peguam syarie, Azmi Mohd. Rais yang mewakili pelakon dan pengarah filem itu berkata, pihaknya dimaklumkan Ira Kazar baru sahaja melantik peguam dan tidak dapat menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Taman Seri Keramat di sini hari ini.
Justeru sebutan semula permohonan perceraian Syamsul Yusof terhadap Ira akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 25 September depan, katanya.
“Hari ini sepatutnya Syamsul sudah bersedia untuk melepaskan Ira. Tapi saya dimaklumkan pada malam tadi, Ira baru sahaja melantik peguam dan tidak dapat hadirkan diri untuk sebutan kes hari ini.
“Sekiranya Ira tidak bersetuju untuk bercerai, kes berkemungkinan akan dilanjutkan ke proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP),” katanya di perkarangan mahkamah hari ini.
Azmi menambah, Syamsul tidak hadir ke mahkamah selepas dimaklum Ira tidak datang bersama peguamnya, Mohd Fadhil Abdul Razak.
Beliau turut mengesahkan Syamsul memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dengan isterinya namun enggan mengulas sama ada pasangan itu tidak tinggal sebumbung atau tidak.
Pada 19 Ogos, Syamsul telah memfailkan cerai terhadap isterinya, Ira atas sebab mereka tidak lagi mempunyai persefahaman dalam perkahwinan yang dibina.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira atau Faghirah Fatini Kazaruddin berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya pada Januari tahun lalu.
Syamsul pernah berkahwin dengan Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 namun perkahwinan sembilan tahun mereka berakhir dengan perceraian apabila pengarah itu melafazkan talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah berusia lima tahun. – MalaysiaGazette