M. Banu menyerahkan obor larian Relay For Life kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh, Tan Yew Aik di Hospital Pantai Melaka.

MELAKA – Seramai 2,400 termasuk 112 pembawa obor berjaya menyempurnakan larian Torch Relay anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bermula di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan berakhir di Melaka malam kelmarin.

Penasihat NCSM, Dr Daniel Wong berkata, obor berkenaan tiba destinasi terakhir di Kolej Universiti Manipal Melaka pada malam Ahad lalu sekali gus melengkapkan larian sejauh 208 kilometer bermula di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Menurutnya, Torch Relay yang dilancarkan tahun ini sebagai sebahagian daripada siri acara Relay for Life Malaysia, menampilkan seni patung inspirasi dinamakan Journey of Hope Torch.

“Rekaan obor ini dibawa beberapa individu dan komuniti termasuklah pesakit dan pejuang kanser dari ibu negara pada hari pertama sehinggalah tamat di Melaka.

“Sepanjang larian ini, obor dibawa ke beberapa hentian di pelbagai lokasi yang dipenuhi aktiviti persembahan, ceramah, saringan kanser dan kesihatan serta vaksinasi HPV,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Daniel, larian hari pertama Torch Relay dilancarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan tetamu kehormat lain dari Taman Tasik Titiwangsa sebelum bergerak ke beberapa hentian.

“Pada hari kedua, sekumpulan pembawa obor yang diketuai oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof menyempurnakan larian pertama di Taman Tasik Seremban sebelum relay diteruskan ke hentian lain.

“Laluan lain termasuklah Sendayan Green Park, Pantai Teluk Kemang, Pantai Hospital Ayer Keroh dan berakhir di Kolej Universiti Manipal Melaka yang disambut pelajar, pesakit kanser, penjaga dan sukarelawan dari Akademi Laut Malaysia (ALAM), JCI dan Eyecon, Group Sdn Bhd,” tambahnya yang juga ahli onkologi klinikal.

Sementara itu, Pengurus Kanan NCSM Melaka, M.Banu berkata, Torch Relay yang mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum mencerminkan semangat merdeka dan nasionalisme yang tinggi dalam kalangan mereka.

“Larian ini lebih bermakna apabila kebanyakan laluannya disertai pesakit kanser dan penjaga termasuk kanak-kanak berlari membawa obor bagi menyampaikan mesej kesedaran kanser serta semangat perpaduan dan sokongan komuniti,” katanya.

Torch Relay merupakan acara permulaan untuk siri acara Relay for Life Malaysia, yang akan diadakan di Kuala Lumpur (16 dan 17 November 2024) dan Melaka (30 November dan 1 Disember 2024).

Relay for Life Malaysia bermula sejak 15 tahun lalu adalah acara yang mengumpulkan komuniti bagi meraikan pejuang kanser, mengenang mereka yang telah meninggal dunia dan mengumpul dana penting untuk pencegahan kanser dan perkhidmatan sokongan.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara Relay for Life Malaysia di bandar-bandar yang berbeza boleh mendaftar melalui laman web relayforlifemalaysia.com atau menghubungi 016-528 3799. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast