KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji risiko kejadian lubang benam secara lebih mendalam di ibu kota.
Ketua Pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kajian itu dilihat lebih mendesak ketika ini bagi memastikan Kuala Lumpur benar-benar selamat daripada kejadian tanah jerlus yang dikhuatiri akan terus berlaku.
Dengan kejadian berterusan banjir kilat yang melanda bandar raya dan kawasan sekitarnya, tidak mustahil ia berpotensi besar untuk menyebabkan kejadian tanah jerlus.
Selain itu, aktiviti manusia dan paip air yang pecah di dalam tanah turut meningkatkan risiko berlakunya kejadian lubang benam pada masa depan.
“Jadikan peristiwa di Masjid India pada Jumaat lalu sebagai wake up call untuk kita semua supaya bertindak segera sebelum kejadian yang lebih parah berlaku di hadapan mata kita,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut Khairul Faizi, kejadian banjir kilat, tanah jerlus, tanah runtuh dan mendapan yang semakin kerap terjadi akhir-akhir ini mencetuskan persoalan sama ada Kuala Lumpur selamat untuk didiami.
Katanya, ia juga menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai berhubung risiko terhadap keselamatan mereka di sebalik pembangunan pesat yang sedang berlaku di ibu negara ketika ini.
“Kejadian ini sebenarnya secara tidak langsung telah membuka mata masyarakat betapa bahayanya pembangunan pesat di ibu negara ketika ini jika tidak diberikan perhatian terhadap langkah-langkah keselamatan dan kawalan,” katanya.
Isu kebimbangan berkenaan berlakunya kejadian lubang benam atau mendapan tanah di Kuala Lumpur kini menjadi topik perbincangan berikutan kejadian melibatkan seorang pelancong India di Jalan Masjid India baru-baru ini.
Selepas lima hari kejadian itu, mangsa iaitu seorang wanita berusia 48 tahun yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam lapan meter masih gagal ditemukan sehingga kini. – MalaysiaGazette