KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited untuk melahirkan mahasiswa bitara dalam memantapkan pemerkasaan mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan Malaysia Madani.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pemerkasaan mahasiswa dengan pengisian komprehensif berpakej holistik menjadi tunjang dan kemestian yang mesti direalisasikan.
Ujarnya, pendedahan mahasiswa dengan pengantarabangsaan juga adalah set pelengkap elemen kemenjadian proses membina pemimpin masa hadapan ini.
”UTeM terus komited untuk melahirkan mahasiswa bitara dalam erti kata mempunyai sifat dan karekter yang unggul, berketrampilan, kompeten dan progresif seperti mana yang dihasratkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Perkara ini adalah penting kerana ianya menjadi nadi penggerak kepada proses merealisasikan hasrat nasional dalam melahirkan komuniti unggul menerusi gagasan Malaysia Madani.
“Usaha UTeM terus seiringan dengan hasrat negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya menerusi kenyataan hari ini.
SEmentara itu, Dr Massila berkata, univerisiti tersebut menyertai International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2024 yang dianjurkan oleh KPT, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Katanyam UTeM menghargai, menyokong dan terlibat sama menjayakan program antarabangsa yang bertujuan mencungkil dan mengembangkan potensi kepimpinan dalam kalangan belia dan pemimpin muda.
Program yang dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menganjur beberapa forum yang membincangkan isu-isu semasa seperti peranan mahasiswa dalam pembangunan negara, kepimpinan AI, dan nilai kemanusiaan dalam media sosial.
iFUTURE 2024 menjadi platform utama bagi golongan belia dan mahasiswa untuk berkongsi idea selain membina jaringan global. – MalaysiaGazette