Muhyiddin Yassin tiba di Mahkamah Gua Musang bersama beberapa pemimpin Bersatu. Foto FB Dr Radzi Jidin

KUALA LUMPUR- Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pertuduhan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai amat luar biasa.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa, ini dapat dilihat apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada hari yang sama kenyataan bekas Perdana Menteri itu direkodkan.

Tambahnya, ketika dirakam keterangan Muhyiddin turut menyerahkan beberapa dokumen antaranya Surat Arahan daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Akaun Berkanun sebagai sokongan majoriti dan bukti 115 Akaun Berkanun daripada Ahli Parlimen yang menyokong beliau.

Hamzah mendakwa, tindakan kerajaan menuduh Muhyiddin di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai pendakwaan terpilih bermotif politik untuk menekan pimpinan Bersatu serta Perikatan Nasional.

“Tambahan pula apabila pihak polis dan Jabatan Peguam Negara memutuskan secara tergesa-gesa untuk mendakwa  Muhyiddin Yassin mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen-dokumen yang telah diserahkan,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di Facebook beliau.

Hamzah juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948 dan berjanji untuk menghapuskannya sebagai hipokrit.

“BERSATU percaya bahawa institusi kehakiman dalam negara akan bertindak secara bebas, adil dan bijaksana dalam menilai keseluruhan peruntukan dalam Akta Hasutan 1948, termasuk peruntukan pengecualian bagi suatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan, atau benda lain untuk disifatkan sebagai menghasut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil hari ini menyangkal dakwaan mengatakan Putrajaya campur tangan dalam kes yang dihadapi Muhyiddin ketika ini.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kerajaan sangkal dakwaan terlibat dalam kes hasutan melibatkan Muhyiddin

1 Komen

  1. Ha..ha…ha…luar biasa konon
    Kalau kes DSNR tu boleh lah kata luar biasa. Tak buat tapi kens 12 tahun penjara. Di dakwa sebelum disiasau. Dijatuh hukum tanpa pembelaanyang adil.

Comments are closed.