Dua anggota polis cedera akibat tertimbus tanah semasa menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan, Jalan Tabah Taman Sri Lambak, Kluang petang semalam.

KLUANG – Dua anggota polis yang cedera akibat tertimbus tanah semasa menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan, Jalan Tabah Taman Sri Lambak, di sini petang semalam kini dalam keadaan stabil

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisoner Bahrin Mohd Noh berkata, mereka yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini sudah  dipindahkan ke wad biasa.

“Kedua-duanya merupakan anggota unit pemusnah bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Koperal Abdul Halim, 39, dilaporkan patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri.

“Sementara Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang peha sebelah kiri dan patah tulang rusuk sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata,  hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku ketika kedua-dua anggota berkenaan sedang membuat persiapan pemusnahan bom.

Katanya, berlaku kejadian tanah runtuh di dinding lubang lokasi tersebut dan akibatnya dua anggota berkenaan tertimbus dan mengalami kecederaan.

“Sebelum kejadian tersebut hujan berlaku di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Menurut beliau, bom jenis Aerial Bom 500 LBS tahun 1952 itu tidak sempat dimusnahkan dan operasi melupuskannya akan dilakukan dalam masa terdekat.

Bahrin berkata, bom lama berkenaan ditemui penduduk setempat sebelum melaporkannya kepada anggota di Balai Polis Renggam, dekat sini pada pukul 8.50 pagi semalam.

Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Unit Pemusnah Bom Cawangan Persenjataan IPK Johor dan Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Kluang ke tempat kejadian.

Dalam kejadian pada pukul 2.20 petang itu, kedua-dua anggota terbabit sedang dalam penugasan melupuskan bom lama yang ditemui orang awam di lokasi kejadian.

Namun, ketika kerja-kerja pelupusan dijalankan berlaku runtuhan tanah di lokasi pemusnahan bom sehingga menyebabkan kedua-dua anggota terbabit tertimbus dan cedera.- MalaysiaGazette

 

Dua anggota polis parah semasa jalankan tugas musnahkan bom