ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz

MUAR – Polis menahan empat lelaki dan dua wanita selepas terlibat sindiket penipuan judi dalam talian di sebuah taman perumahan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, penahanan kenam-enam suspek dilakukan hasil risikan dan operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.

“Semua mereka yang ditahan berusia lingkungan 20-an. Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa peralatan antaranya komputer, telefon bimbit serta maklumat akaun bank.

“Semua barang rampasan tersebut disyaki digunakan dalam aktiviti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan malambtadi.

Katanya, siasatan awal polis mendapati mereka menjalankan aktiviti penipuan perjudian dalam talian dengan mempromosikan kepada pelanggan sebelum menipu mereka.

“Selepas mempromosikan kepada pelanggan sindiket terbabit akan menipu sebaik bayaran dibuat oleh mereka,” ujarnya.

Siasatan awal katanya, mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak pertengahan tahun ini.

Raiz Mukhliz memberitahu, semakan terhadap suspek mendapati dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan perjudian.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.- MalaysiaGazette