Superitenden Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Polis melumpuhkan satu sindiket pinjaman wang tidak berlesen selepas menahan lapan lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Alam, di sini semalam.

Serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor berjaya memberkas suspek yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20an hingga 40an.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil serbuan tersebut, pihak polis merampas sebuah komputer riba dan lapan buah telefon bimbit pelbagai jenama.

“Barang rampasan ini dipercayai digunakan untuk menawarkan pinjaman kepada mangsa.

“Modus operandi sindiket ini antaranya mempromosikan pinjaman dalam Facebook dengan menjanjikan proses pinjaman yang mudah lulus dan boleh mendapat wang tunai dengan cepat.

“Sindiket ini disyaki baru beroperasi dalam daerah Seri Alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan yang sama iaitu kesalahan pemberi pinjam wang tanpa lesen, perjudian dan penyalahgunaan dadah.

Belliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya kepada tawaran pinjaman dalam talian dan elakkan berurusan dengan pemberi pinjam wang yang tiada mempunyai lesen yang sah.

“Ini mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini di kemudian hari. Pastikan membuat semakan terlebih dahulu dengan agensi yang berkaitan.

“Sekiranya tawaran pinjaman tersebut ada menyebut atau menggunakan nama mana-mana agensi untuk menarik perhatian mangsa atau peminjam,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Ακτα Ρεmberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1951.- MalaysiaGazette

habis